Monday, December 17, 2012

Pendidikan Seni di Peringkat Sekolah

          Beberapa tahun kebelakangan ini berbagai pihak yang bergiat dalam pendidikan seni visual samada secara individu mahupun dalam sesebuah institusi, kerajaan dan badan bukan kerajaan berusaha dengan pelbagai pendekatan dan kaedah untuk meletakkan mata pelajaran pendidikan seni visual ini ke atas landasan yang benar agar martabatnya selari dengan mata pelajaran sekolah yang lain. Dalam usaha ke arah itu beberapa isu yang bersangkutan dengan keberkesanan mata pelajaran ini perlu di jelaskan.
          Sebagai contoh, “Art Education” kini kita panggil Dunia Seni Visual iaitu selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi menaik taraf mutu dan prestasi pendidikan negara standing dengan negara membangun.  Oleh itu kita perlu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan obkjektif sebenar mata pelajaran ini. Kerana sehingga kini dari pengamatan dan kajian yang telah dilakukan terhadap beberapa sekolah rendah di kawasan perak tengah, masih terdapat pelbagai tanggapan dan tafsiran tentang pendidikan seni ini samada tangapan yang berbentuk positif mahupun negatif. Ini kerana apabila menyebut sahaja tentang pelajaran pendidikan seni ada yang beranggapan bahawa ianya sebagai suatu aktiviti seni yang merangkumi kegiatan melukis dan membuat gambar. Ada setengah pihak pula beranggapan pendidikan seni ini menjurus kepada kerja-kerja menghasilkan produk kraf. Ada juga yang beranggapan pendidikan seni visual kini lebih berbentuk akademik yang lebih kepada bidang sejarah iaitu berkaitan tradisi sesetengah masyarakat dan juga apresiasi seni.
          Oleh itu, kesamaran ini perlulah dijelaskan dengan sebaik mungkin.  Ini kerana setiap bidang ilmu itu mempunyai falsafah dan struktur ilmu yang khusus dan menjurus kepada matlamat yang berlainan. Sekiranya pemikiran dan keparcayaan yang masih bercelaru ini tidak dijelaskan bagaimana seorang guru itu dapat mendukung objektif dan matlamat matapelajaran yang mereka ajar. Kesannya guru akan menghadapi masalah dari segi menentukan arah objektif dan matlamat mata pelajaran tersebut dan ianya berubah serta bercangah dengan matlamat yang asal.
          Persoalannya, mengapa ramai yang memandang remeh serta tidak mengendahkan mata pelajaran seni? Seringkali kita mendengar mata pelajaran seni dipertikaikan. Pada hakikatnya mata pelajaran seni sama seperti mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris yang mempunyai kepentingannya tersendiri. Malah ia membantu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat kini. Ia memberi info atau maklumat, mengembangkan minat serta kretiviti murid dan secara tidak langsung ianya memperluaskan pengalaman dan kemahiran murid itu sendiri.
          Mengapa kita sering berpendapat seseorang itu dilahirkan tidak kreatif? Hakikatnya kreativiti itu boleh dipelajari. Terdapat banyak kerjaya yang berkaitan dengan seni, seperti pengiklanan, arkitek, juruhias dalaman. fotografi, grafik artis, pereka grafik, pelukis komik, animasi kartun,  dan banyak lagi yang ada kaitannya dengan cabang-cabang seni. Kemahiran berfikir secara abstrak akan banyak membantu dalam kehidupan. Seni juga bukan setakat terbatas pada seni visual dan lukisan sahaja tetapi ia ada kaitannya dengan objektif dan matlamat dalam pelbagai bidang yang lain serta saling berhubungkait.
          Seni dan sosial mempunyai hubungan simbolik untuk digabungkan sebagai kurikulum intergrasi iaitu memerlukan kefahaman terhadap ilmu kemanusiaan dan pengalaman manusia. Justeru itu, untuk memahami sesuatu masyarakat, kita perlu memahami bagaimana seni mempengaruhi sosial, politik, dan ekonomi sesuatu masyarakat tidak kira dari bentuk positif mahupun negatif.
          Selaian daripada itu, pelajaran pendidikan seni di peringkat sekolah rendah ini lebih merupakan suatu proses untuk membantu perkembangan dan pertumbuhan menyeluruh murid. Landasan pelajaran ini adalah berlandaskan teori perkembangan. dan pendidikan seni kepada murid adalah lebih kepada keperluan eksprasif, di samping mereka perlu untuk meningkat domain kognitif, afaktif dan psikomotor mereka. Ianya banyak menyentuh tentang aspek psikologi perkembangan. Oleh itu guru-guru pendidikan seni perlulah benar-benar terlatih dalam bidang ini.
           Persoalan seterusnya adalah sejauh manakah latihan yang telah dilalui oleh guru-guru seni ini. Adakah hal tersebut merupakan fokus latihan bagi kursus pendidikan seni untuk bakal guru sekolah rendah?“Siapa saja boleh mengajar Pendidikan Seni”, Pendidikan Seni pelajaran yang tidak ada potensi”. Ini merupakan permasalahan yang sering menjadi isu dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni di sekolah. Dimana mereke sering kali beranggapan sesiapa sahaja boleh mengajar pendidikan seni, pendidikan seni merupakan waktu untuk guru-guru “berehat” setelah penat mengajar mata pelajaran lain yang “lebih berat”. Adakah ini benar? Selagi tanggapan ini tidak dibetulkan selagi itulah mata pelajaran seni ini beransur lenyap dari pandangan positif masyarakat sekolah. Kerana tanggapan inilah menjadikan pelajaran ini semakin sehari semakin dipinggirkan oleh masyarakat. Malahan ada kalangan guru yang pernah terlatih dalam pendidikan seni merasa malu mengajar pelajaran ini, mereka lebih rela mengajar pendidikan jasmani, dan pelajaran lain yang mempunyai banyak potensi.
          Hakikatnya guru-guru seperti ini tidak memahami objektif dan matlamat sebenar pendidikan seni ini. Selagi mata pelajaran ini diajar oleh mereka yang tidak terlatih dan tidak inovatif serta kreatif dalam menyediakan pelajaran maka selagi itulah konsep serta matlamat mata pelajaran pendidikan seni ini tidak akan hidup di dalam semangat pelajar. Selama itulah pelajar juga akan memandang sepi mata pelajaran pendidikan seni ini.
          Apa yang manakutkan kita adalah, selepas sahaja murid-murid mengikuti kelas mata pelajaran seni ini, apa yang mereka perolehi? Pentingkah mata pelajaran seni ini? Apakah pengalaman yang mereka lalui serta kemahiran yang mereka perolehi ini dapat membantu dalam kehidupan mendatang? Untuk menjawab persoalan-persoalan di atas, kita boleh jadikan objektif dan matlamat pendidikan seni sebangai landasan ukuran. Disini kita akan dapat menilai betapa pentingnya seseorang guru itu harus memahami objektif dan matlamat sebenar mata pelajaran seni ini.
       Kemudiannya, kita perlu menilai semula bagaimana usaha kita menyusun atur isi kandungan mata pelajaran ini secara berperingkat-peringkat mulai daripada tahun satu sekolah rendah hinggalah ke tahap yang teratas. Selain daripada itu juga, sudah sampai masanya mata pelajaran seni ini harus memiliki buku rujukan atau sekurang-kurangnya ada buku panduan. Jika dilihat masa kini, kita kekurangan buku ataupun bahan rujukan yang diperlukan oleh murid terutasma sekali bagi murid sekolah rendah. Berbeza dengan mata pelajaran yang lain, di kedai-kedia buku terpapar pelbagai jenis buku yang bermacam-macam corak, rupa serta penerbitnya. Seolah-olah setiap penerbit saling berlawan untuk menghasilkan buku yang berkualiti. Tetapi apa yang terjadi bagi buku rujukan untuk mata pelajaran seni?
          Perkara ini berbalik semula kepada isu yang di atas iaitu bergantung kepada keupayaan guru menterjemah isi kandungan ke dalam bentuk operasi dalam proses pelajaran dan pengajaran di bilik darjah. Bukan sekadar itu sahaja, sebagai mata pelajaran yang tertakluk di dalam sistem persekolahan segala keperluan asas dari segi infrastruktur perlulah diberi perhatian. Sudah sampai masanya setiap sekolah memiliki sekurang-kurangnya satu bilik seni yang lengkap sama seperti pelajaran Kemahiran Hidup, Sains Rumahtangga atau mata pelajaran Sains.
          Akhir sekali, hanya guru yang layak sahaja boleh mengajar mata pelajaran ini. Ini kerana mata pelajaran seni ini memerlukan golongan yang mempunyai kepakaran dari segi pendidikan, pengalaman serta kebolehan yang berkaitan dengan bidang seni. Ianya bukan sekadar hanya pada minat bahkan pengalaman guru yang sering berkecimpung dalam industri seni seperti sering berpameran, aktif dalam aktiviti social dan juga kreatif dalam menyelesaikan masalah adalah sangat membantu melahirkan murid yang lebih, kraetif, inovatif dan berdaya saing serta dapat memenuhi hasrat dan impain negara berpandukan landasannya.


          Jika dilihat secara keseluruhannya, banyak permasalah dan persoalan yang timbul berkaitan pendidikan seni visual diperingkat sekolah rendah. Walaupun telah banyak usaha dan kaedah yang telah diperbaharui dan dijalankan oleh kerajaan dan juga badan bukan kerajaan. Sedar mahupun tidak, hakikatnya pemikiran ataupun kepercayaan masyarakat di Malaysia ini memang susah untuk diubah. Hakikatnya seni memainkan peranan yang sangat penting dalam dunia pendidikan kita. Sewajarnya seni tidak dianggap sebagai satu mata pelajaran yang tiada kepentingan dalam dunia pendidikan.
          Sejarah telah membuktikan bahawa seni telah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan ketamadunan manusia. Sebagai contoh, kebangkitan masyarakat Rusia yang telah di serang oleh tentera Nazi Jerman dalam perang dunia ke-2 pada tahun 1940-1945, apa yang membuatkan masyarakat ketika itu kembali pulih adalah pentadbiran mereka menaik taraf sistem budaya dan kesenian bagi membaik pulih semangat masyarakat mereka dalam mengharungi kehidupan mendatang. Ianya berlaku juga kepada masyarakat di negara Jepun melalui serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki oleh Amerika Syarikat pada 6 Ogos 1945. Dimana ketika itu telah mengorbankan sebanyak 140,000 orang di Hiroshima dan 80,000 di Nagasaki. Sejak itu, ribuan telah tewas akibat luka atau sakit yang berhubungan dengan radiasi yang dikeluarkan oleh bom atom tersebut. Untuk memulihkan semangat masyarakat mereka ketika itu, sistem budaya dan kesenian telah memainkan peranan yang sangat penting bagi membaik pulih semangat mereka. Untuk mengenali bangsa yang berjaya kita haruslah mengenali budaya kesenian mereka terdahulu yang selari dengan perkembangan teknologinya. Justeru itu seni memainkan peranan yang penting dalam dunia pendidikan dan pembangunan negara kita hari ini dan mendatang.
           Walaubagaimanapun usaha untuk mengemaskini kualiti sukatan pelajaran dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat SPM dan STPM telah dan sedang dilakukan. Usaha ini dilakukan dengan melibatkan wakil-wakil dari semua peringkat sistem pendidikan negara kita. Pernyataan falsafah, matlamat dan objektifnya telah jelas. Isi kandung pelajaran dan ruang lingkupnya telah dinyatakan selaras dengan tahap sukatan pelajaran. Dengan harapan agar mata pelajaran pendidikan seni dapat memenuhi harsat wawasan dan falsafah pendidikan kebangsaan, dalam usaha untuk memberi persediaan kepada generasi muda dengan ilmu, nilai dan kemahiran kepada generasi muda dengan personaliti sebagai rakyat Malaysia yang cemerlang untuk generasi akan dating.
          Ini adalah harapannya, manakala realitinya kita haruslah sama-sama membuat sedikit renungan. Sejauh manakah guru atau kita sebagai pendidik telah melaksanakan peranan masing-masing untuk merealisasikan harapan itu. Sejauh manakah kita telah meletakkan kualiti pengajaran kita dengan menguasai dan mengamalkan beberapa pendekatan sesuai untuk sesuatu matlamat pengajaran, supaya pelajaran pendidikan seni itu benar-benar berkualiti, menarik dan bermakna dari perspektif murid termasuk daripada isu-isu yang telah dibangkitkan, mungkin kita perlu mengambil langkah untuk memperbaiki bersama-sama dengan memberi pandangan dan idea dalam seminar atau perbincangan yang amat perlu diadakan dengan lebih kerap lagi ataupun melalui kelompok perbincangan yang lebih kecil. Dengan harapan kita dapat memartabatkan pelajaran pendidikan seni visual ini.
          Diharapkan melalui pendidikan seni ini akan melahirkan individu yang berkeyakinan, baik hati dari aspek ekspresi mahupun tindakbalas di samping dapat mempertahankan warisan budaya dalam kontaks sosial di mana sesuatu masyarakat dapat berhubung dengan yakin melalui kegiatan seni ini. Seni dan falsafah menjadi faktor terpenting dalam masyarakat. Ia saling memerlukan antara satu sama lain. Menyokong pendapat yang mengatakan bahawa  seni sebagai agen perubahan masyarakat. Perkembangan seni yang berlaku dalam sesuatu masyarakat itu juga sebenarnya adalah hasil hubungan dan kepentingan bersama.