Tuesday, August 14, 2012

SENI ARCA DI MALAYSIA


Jika dilihat dalam konteks seni sezaman kini, seni arca sudah memiliki kedudukannya yang tersendiri. Walaubagaimanapun, bagi saya pembangunan seni arca kontemporari jarang diperkatakan ataupun ditulis berbanding dengan seni catan. Hal ini merupakan antara sebab mengapa bidang seni arca tidak begitu popular sama ada di peringkat awal perkembangan seni di Malaysia mahupun di peringkat seni dunia.

Antara faktor yang melambatkan pembangunan seni arca kontemporari adalah disebabkan perkembangan sejarah seni yang lazimnya dilihat dari sudut sejarah seni catan sahaja. Di samping itu, nilai-nilai estetik serta kriteria-kriteria kritikan tentang seni juga disasarkan hanya pada seni catan, bukannya seni arca. Manakala galeri, penulisan serta penaja atau penaung yang berfungsi bagi menyokong perkembangan seni juga lebih cenderung kepada seni catan. Bagi saya fenomena sebegini membuatkan seni arca kontemporari lambat mencapai kemuncak dalam kedudukannya meskipun dari sudut sejarah seni dunia, seni arca merupakan salah satu bidang kesenian yang terpenting dalam perkembangan seni.

 Walau bagaimanapun merujuk kepada buku ‘Modern Art Malaysia’(2001:65) yang ditulis oleh Muliyadi Mahmood, seni arca menjadi tidak popular dan sempit. Ia sering kali dikaitkan dengan patung-patung penyembahan yang ternyata bercanggah dengan agama islam. Dimana agama islam menjadi agama rasmi bagi Negara Malaysia. Perhubungan seni arca dengan unsur-unsur keagamaan seperti inilah sering kali menimbulkan tanggapan-tanggapan negatif daripada masyarakat terutama sekali bagi penganut agama islam.[1]

Dalam konteks seni kontemporari Malaysia, kekurangan pembangunan seni arca sering kali dikaitkan dengan latar belakang agama dan budaya. TK Sabapathy dalam kajian menulis bahawa:[2]

“Ketiadaan satu tradisi dalam seni tampak dan plastik di negara ini sebelum kurun ke-20 dapat dikatakan kerana latar belakang keislamannya dan kerana ikatanya yang kuat pada tradisi budaya pertukangan. Tradisi islam yang menolak gambaran berikonografi dapat mengesahkan amalan historikal yang lebih lazim iaitu gambaran lambang-lambang dalam tradisi-tradisi pertukangan. Walaupun keadan ini telah menjamin dan telah mengekal kewujudan satu tradisi pertukangan tangan yang sofistikated, ia tidak pula memupuk satu tradisi seni catan dan arca”

(Seni Lukis Morden Malaysia,

Kisah satu pencarian 1930 – 1973,Sabaphaty 1976)



Walaubagaimanapun. kita tidak boleh menyalahkan seni tradisi yang megakibatkan kelewatan perkembangan seni arca. Seni tradisi seperti seni ukiran melayu sememangnya memiliki keistimewaanya yang tersendiri. Seni ini menggambarkan budaya masyarakat melayu serta menyalurkan nilai-nilai agama dan kepercayaan masyarakat melayu. Ianya bukan sekadar bersifat seni pertukangan semata-mata. Hakikatnya unsur-unsur kesenian tradisi ini turut membantu dalam proses pembangunan seni moden tempatan.

Selain daripada seni tradisi menjadi punca kelewatan perkembangan seni arca, faktor agama juga disalah ertikan dimana agama Islam menjadi agama rasmi bagi Negara Malaysia. Dikatakan agama Islam menolak karya-karya berbentuk fugura manusia yang seakan-akan patung-patung penyembahan yang ternyata bercanggah dengan hukum Islam. Sejauh manakah kebenaran ini?

Sebagai contoh Raja Shariman yang merupakan salah satu pengarca terkenal di Malaysia. Beliau menggunakan unsur figura manusia dalam menghasilkan karyanya. Beliau telah banyak menerima kritikan yang negatif kerana beliau merupakan penganut agama Islam. Hasil karya beliau sering dikaitkan dengan penghasilan patung-patung penyembahan. Walaubagaimanapun, beliau tetap dengan pendiriannya meghasilkan karya berbentuk figura manusia. Sehinggalah beliau menghasilkan arca siri bertajuk Nafas yang bertujuan untuk menolak tanggapan negatif masyarakat terhadap dirinya.

“Saya menghasilkan karya bertitik-tolak daripada rasa berahi menyelongkar pencarian hakikat diri, kesedaran kendiri. Turut menggariskan kerja-kerja seni atas dasar cantik dan iman, estetik yang bermatlamatkan mengenal diri insan yang kadag-kala menimbulkan syath”

(Raja Shariman,

Nafas, Balai Seni Lukis Negara, 2004)


Karya beliau sebenarnya merupakan rentetan daripada unsur seni mempertahankan diri iaitu Seni Silat.  Seni ini diamalkan oleh masyarakat melayu dulu-kala. Seni silat ini merupakan pemacu semangat serta tunggak perpaduan masyarakat melayu dan secara tidak langsung menyedarkan kita tentang asal-usul sebenar masyarakat melayu. Beliau turut menekankan tentang unsur seni iaitu unsur garisan yang digunakan bagi membentuk figura manusia dalam keadaan bersilat. Ianya membantu menjadikan karya beliau sebagai sebuah karya yang mempunyai nilai estetik yang cukup sempurna.



[1] Muliyadi mahmod. (2001). Modern Art Malaysia. Malaysia. Utusan publication & Distributors Sdn Bhd         

[2] Muliyadi mahmod. (2001). Modern Art Malaysia. Malaysia. Utusan publication & Distributors Sdn Bhd